Saya suka makan buah-buahan tempatan. Kalau ke kedai buah, bukan semua buah yang dijual sedia untuk dimakan. Ada yang kena peram dulu.

Kalau ada pilihan, saya akan beli sedikit buah yang masak dan sedikit buah yang belum masak. Makan buah yang masak dulu, dan peram buah yang belum masak.

Jadi buah yang dibeli boleh dimakan dalam beberapa hari dan tak rosak.

Dalam proses untuk masak, buah-buahan akan keluarkan gas ethylene. Lagi banyak gas yang dihasilkan oleh sesuatu buah, lebih cepat buah tu akan masak.

Biasanya buah yang kena peram dulu adalah pisang, mangga, betik, ciku, avocado, kiwi dan nanas.

Ini cara yang boleh dilakukan untuk peram buah:

Cara 1:

Masukkan buah yang ingin diperam dalam beg kertas dan diletakkan bersama dengan sebiji pisang yang dah masak. Kemudian tutup beg kertas. Jika tiada beg kertas, boleh gunakan kotak. Jangan letakkan dalam beg plastik.

Periksa buah yang diperam tu setiap hari untuk elakkan terlebih masak.

Pisang masak cepat ranum kerana banyak keluarkan gas ethylene. Jadi, bila diletakkan bersama buah yang belum masak, buah tersebut akan cepat masak.

Selain pisang, boleh juga digantikan dengan epal kerana epal juga keluarkan gas ethylene yang banyak.

Cara 2:
Basuh buah yang ingin diperam. Keringkan buah. Boleh lap dengan kain bersih atau tisu. Kemudian tanam keseluruhan buah di dalam beras. Periksa buah setiap hari.

Jangan lupa tengok dalam beras, nanti buah masak ranum, beras pula akan rosak.

Cara 3.
Letak calsium carbide (kabat) atas kertas surat khabar. Renjiskan kabat dengan sedikit air. Bungkus calsium carbide dengan surat khabar. Apabila calsium carbide terkena air, ia akan membebaskan gas acetylene. Gas acetylene juga berfungsi seperti gas ethylene,mempercepatkan proses buah masak.
(*Calsium Carbide mengandungi arsenic dan phosphorus, yang dikuatiri boleh menjejaskan kesihatan).

Tips:
Peram dulu buah dan hanya letakkan buah yang sudah masak ke dalam peti sejuk. Suhu sejuk akan melambatkan pengeluaran gas ethylene dan buatkan buah masak tersebut tahan lama.

Asingkan sayur-sayuran dan buah-buahan sebelum diletakkan di dalam peti sejuk.
Buah yang diletakkan di dalam peti sejuk masih lagi akan keluarkan gas ethylene dan akan menyebabkan sayur lebih cepat rosak.